Friday, 30 May 2014

Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna (Hassan Al-Banna)


Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna 
atau ringkasnya Hassan al-Banna adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada usia 12 tauhn, beliau sudah menghafal al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928. Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Pada tahun 12 Februari 1949 beliau meninggal dunia setelah ditembak mati oleh seorang pembunuh upahan arahan sulit kerajaan Mesir ketika itu.

Kehidupan awal

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, IskandariahMesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati. Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin. Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.
Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Kehidupan di ibu negara Mesir menawarkannya peluang yang lebih luas berbanding di kampung serta bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya). Walau bagaimanapun, beliau amat terganggu dan tidak senang dengan pengaruh kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular yang terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. Hassan al Banna turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka terhadap peningkatan atheisme dan pengaruh mubaligh Kristian.
Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah berunsurkan Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat seperti di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, beliau menulis bahawa beliau bercadang untuk menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak agar dapat mengajar mereka mengenai matlamat "agama adalah sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Bapanya, Syeikh Ahmad al-Banna merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal berkelulusanUniversiti Al-Azhar yang menulis serta menyumbang kepada penulisan kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam. Bapa beliau juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.
Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.
Ahmad Saiful Islam, anak lelaki Hassan al Banna, menceritakan bagaimana beberapa sifat peribadi Hassan al Bannan semasa beliau masih hidup lagi. Antaranya beliau sangat menjaga dan memerhati perkembangan anak-anaknya. Setiap anaknya mempunyai fail khas yang ditulis oleh beliau sendiri. Di dalam fail tersebut terkandung maklumat seperti maklumat-maklumat perubatan anak-anaknya, sijil-sijil pelajaran bersertakan catitan-catitan tentang kemajuan pembelajaran mereka. Hukuman yang paling berat pernah beliau kenakan kepada anak-anaknya hanyalah cubit telinga. Sifat pemurah kepada anak-anaknya dilihat apabila beliau memberikan wang saku kepada mereka sebanyak 3 Qurusy berbanding kanak-kanak lain yang puratanya mendapat suku atau setengah Qurusy sahaja daripada ibu bapa mereka.
Beliau menyediakan satu perpustakaan khas buat Ahmad Saiful Islam. Ini adalah antara proses pentarbiahan beliau kepadanya. Beliau tidak melarang Saiful Islam membaca apa-apa jenis bahan bacaan, malahan memberi bacaan lebih baik untuk dibaca oleh Saiful apabila selesai membaca bahan bacaan diminatinya.
Hassan al Banna juga bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah Rasulullah SAW. Beliau berusaha untuk mengenali setiap kaum keluarga isterinya. Antara kisah menarik, beliau pernah mengejutkan isterinya dengan menziarahi seseorang yang telah terputus hubungan kekeluargaan dengan siterinya kerana orang itu bukanlah anak kepada orang yang mempunyai hubungan keluarga dengan isterinya. Begitulah tahap kesungguhan dan ketelitian beliau dalam melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Penubuhan "Ikhwanul Muslimun", kegiatan dakwah dan kematian seorang wira

Pada Mac 1928, Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Ketika itu beliau berusia 23 tahun. Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam kepada keluarga anak muridnya. Beliau juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan dan beliau mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama.Beliau sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya seperti kem ketenteraan British, kemudahan awam yang dimiliki oleh kepentingan luar dan tempat tinggal mewah milik pekerja syarikat Terusan Suez yang bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. 
Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.
Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik. Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu, Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan.
Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah dibunuh kerana ditembak pada waktu tengah hari 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin. Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna

  1. Dirikan solat apabila mendengar azan, walau apapun jua keadaan pada waktu itu.
  2. Bacalah al-Quran, atau pelajari tafsirnya atau dengarlah bacaan orang lain, atau zikirlah kepada Allah. Jangan engkau gunakan sebahagian ruang waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.
  3. Bercakaplah dengan bahasa Arab yang fasih, kerana ia termasuk dalam syi'ar Islam.
  4. Jangan banyak berdebat dalam apa jua hal. Pertengkaran tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.
  5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan mantap.
  6. Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.
  7. Jangan engkau tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar. Ia menunjukkan kebodohan dan menyakitkan.
  8. Jauhi menghina orang, mencela organisasi dan jangan berbicara kecuali perbicaraan yang baik.
  9. Perkenalkan dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta daripadamu, sebab dasar dakwah kita adalah cinta dan saling kenal mengenal.
  10. Kewajipan selalu lebih banyak daripada waktu yang tersedia. Oleh itu bantulah orang lain untuk memanfaatkan waktunya. Jika engkau mempunyai urusan, maka selesaikanlah dalam waktu sesingkat-singkatnya.

Wednesday, 14 May 2014

Sejarah Sultan Muhammad al-Fateh (Cerita Ringkas)



PENGENALAN


Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.
Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.




ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.


ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

ZAMAN DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.

Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”

Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.




MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.




Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.




Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.

Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.




JUMAAT BERSEJARAH

Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”

Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”

Sebahagian daripada tenteranya duduk.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”

Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?

AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.
Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.



KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Potret ini memang masyhur. Siapakah pelukisnya?
Pelukisnya ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh Senat Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret baginda.




PEMBUKA KONSTANTINOPLE SETERUSNYA

Hadis Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun Yakjuj Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa al-Masih nanti.

Begitu juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka yang berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang utama akan tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan tentera, untuk penghujung akhir zaman ini.

Kita lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam kitabnya Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:

“Al-Mahdi akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh. Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan emas di Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada orang yang berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan keluarga-keluarga kamu semua.”
“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)

Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000 jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”

Sabda Nabi:
“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya Dajjal ialah selama 7 bulan.”

Hadis riwayat al-Hakim:
“Sesungguhnya pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz……. Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan Dajjal.”

“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”

“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”

Cuba perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum berlaku. Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam Mahdi dan pasukannya.

Anda mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu? Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka Konstantinople yang pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tentunya kualiti tentera yang membuka akan membuka Konstantinople kali ini adalah lebih hebat daripada yang pertama. Layakkah anda?

Satu hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople yang pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang utama ialah Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya Muhammad.


-TAMAT-

Friday, 9 May 2014

Fadhilat & Khasiat Surah Al-Waqiah


Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.


Di dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.





Al-Waqiah Surah Kekayaan
Surah Al-Waqiah memang terkenal dengan beberapa khasiatnya dan kelebihan tersendiri dan hadis mengenainya adalah sahih.


1. Dengan mewiridkan surah Al-Waqiah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’ad Al Mufti mengatakan, bahawa hadis ini sahih.
Rasulullah SAW bersabda:
Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir abada.
“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”

.
2. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”

3. Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al- Baihaqi)

4. Rasulullah SAW bersabda: “Ajarkanlah surah Al-Waqiah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)

5. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
.
Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: Sesiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”


Khasiat Surah Al-Waqiah
Di dalam surah Al-Waqiah terkandung beberapa fadhilat dan khasiat, antara lain:


1. Mereka yang membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya.

2. Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.

3. Mereka yang membacanya sebanyak 14 X setiap lepas Solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan dengan kekayaan dan rezeki yang berlimpah ruah.

4. Jika dibaca surah ini sebanyak 41 X dalam satu majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

5. Menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 X selepas Solat Subuh dan 3 X selepas Solat Isyak. Insya’Allah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan dijadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.

6. Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki; Insya’Allah berhasil:
Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya.
Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.
Diikuti dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali.
Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah.
Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada waktu pagi dan petang.

7. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah, ayat 35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.
Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”

8. Surah Al-Waqiah ini jika dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak, Insya’Allah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, Insya’Allah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Petua dari Syeikh Abi’l Abbas. Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya; Dengan mengamalkan seperti berikut:

1.Bila hendak mengamalkan surah Al- Waqiah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Buka puasanya hanya makan sayur-sayuran / tumbuhan sahaja (tidak memakan sesuatu yang bernyawa seperti tidak makan ikan, daging, segala haiwan).

2.Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqiah sebanyak 25 X. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isyak pada Jumaat berikutnya.

3.Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqiah sebanyak 125 X, kemudian berselawat 1000 X.

Insya’Allah, dengan mengamalkan surah Al-Waqiah seperti yang diberitahu dalam hadis-hadis Nabi SAW, kita akan memperolehi rezki yang banyak, supaya kita dapat menolong dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan dan memperbanyakkan lagi amal jariah kita supaya dapat dibawa ke sana nanti.
Bacalah surah Al-Waqiah ini dengan hati yang ikhlas memohon rezki dariNya. Jangan berniat untuk kaya di dunia yang sementara. Dalam niat kita dengan rezeki yang banyak kita dapat beribadat kepadaNya dan membuat amal jariah. Barulah Allah SWT memperkenankan doa-doa kita.


والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته